Rabu, 30 Oktober 2013

Kenapa Aku Suka ke Pasar Tani?

Di pagi Ahad yang lalu, isteri mengajak penulis ‘shopping’ pasar tani di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang. Penulis setuju sahaja kerana sudah lama kami tidak ke pasar tani ini. Lagipun hanya pasar tani di Taman Dato Ahmad Razali ini sahaja sahaja yang berhampiran dengan kediaman penulis (setahu penulislah). Pasar tani ini hanya dibuka sekali seminggu iaitu pada setiap pagi hari Ahad sahaja.

Apa yang best di Pasar Tani di Taman Dato Ahmad Razali ini? Jom kita layan beberapa keping gambar yang sempat penulis rakamkan secara candid.
Suasana Pasar Tani Taman dato Ahmad Razali, Ampang.
Ayam pencen.
Pasar tani ini sebenarnya tiada beza dengan pasar tani di tempat-tempat lain, cuma di sini lebih tertumpu kepada makanan dan barangan basah sahaja. Barangan lain seperti pakaian itu ada, cuma tidak banyak.
Kawan penulis berniaga ikan di pasar ini.
Rakan sekampung penulis yang menjadi tauke ikan di pasar ini.
Penduduk di sekitar Ampang ini memang gemar membeli barangan basah seperti ikan, ayam, sotong dan lain-lain di pasar ini sebab ianya masih segar (mengikut kata peniagalah). Harganyapun agak berpatutan berbanding harga di pasar basah di tempat-tempat yang lain. Al-maklum sahajalah, barangan basah di pasar basah terutama di sekitar Bandar Baru Ampang ini memang agak mahal daripada biasa.
Daging lembu segar yang terbaik dari ladang.
Nama kueh ini Peneram.
Ok, berbalik mengenai makanan di pasar tani ini, ada beberapa makanan yang best dan always kena beratur jika hendak membelinya. Makanan yang dimaksudkan adalah seperti nasi lemak kukus, yong tau fu, chicken chop (yang ni lain daripada lain) dan char kuew teow.
Kueh mueh tradisional pun ada.
Yong Tau Fu ini kakak ini ramai peminatnya.
Maaf, penulis tidak sempat hendak merakamkan gambar makanan yang penulis tuliskan, cuma hanya sempat merakamkan beberapa keping sahaja. Ini pun penulis hanya rakamkan secara candid kerana takut nanti dimarahi peniaga pula..
Mee goreng dan nasi goreng dimasak secara live.
Makanan produk kesihatan pun ada dijual di sini.
Kami hanya beli ayam goreng ala-ala KFC, mee goreng dan nasi lemak kukus sahaja untuk kami berserapan pagi. Cukuplah untuk penulis anak beranak. Penulis juga membeli barangan basah seperti ikan, sotong dan ketam. Selalunya penulis membeli barangan basah ini untuk keperluan seminggu.
Kueh mueh yang masih panas.
Sayuran kampung yang masih segar.
Salah satu sebab kenapa penulis suka membeli barangan basah di pasar tani ini adalah kerana tauke ikan yang berniaga di pasar ini adalah rakan sekampung dari Sungai Besar. Jadi, berapa banyak ikan yang penulis beli, beliau tidak akan timbang. Beliau tidak berkira dan akan memberi harga istimewa. Kadang kala beliau tidak kisah berapa RM yang penulis hendak bayar. Ini menyebabkan kadang-kadang penulis jadi segan hendak mengambil ikan banyak-banyak, nanti dikatakan ambil kesempatan pula... hehehe....
Suasana pasar tani.
Walaupun bukan musim perayaan, ketupat dan rendang sentiasa ada di pasar tani ini.
Jadi, jika anda semua hendak datang ke Ampang pada hari minggu, singah-singgahlah ke Pasar tani Taman Dato Ahmad Razali yer.. Parking memang tiada masalah, boleh parking di tepi jalan raya sahaja. Insyallah tidak kena saman....

Isnin, 28 Oktober 2013

Apa Yang Ada di Pasar Malam Seri Nanding?

Buat masa ini kerap kali penulis berkunjung ke Hulu Langat untuk terapi rendam air panas. Oleh itu, setiap hari Jumaat pastinya penulis singgah ke pasar malam di Taman Seri Nanding. Pasar malam ini menarik perhatian penulis kerana sayuran kampung dan ikan sungainya yang masih segar dengan harga yang berpatutan. Jom mari kita layan foto-foto yang sempat penulis rakamkan. Kebanyakkan foto yang dirakamkan secara candid kerana takut peniaga akan marah apabila gambar mereka dirakamkan.
Pasar malam Taman Seri Nanding.
Pasar malam Taman Seri Nanding  setiap malam Jumaat.
Pizza pun ada.
Sebut sahaja pasar malam, pasti anda terbayangkan pekikan peniaga menjual barangan dan urusan tawar menawar yang sememangnya menggamit suasana malam. Sebenarnya, apa yang menarik dan apa yang ada di pasar ini? 
Lelongan anak patung.
Ikan sungai yang masih segar.
Sayuran kampung yang masih segar.
Pasar malam Taman Seri Nanding ini adalah sebenarnya sebuah pasar malam biasa. Ya, pasar malam yang boleh dikatakan sangat meriah kerana terlalu ramai yang datang ke sini dan ianya dibuka dari 5 petang sehingga 10 malam. Difahamkan hanya pasar malam setiap hari Jumaat ini sahaja yang ada di sekitar Hulu Langat ini. Disebabkan itu, Pasar Malam Seri Nanding ini menjadi tumpuan orang ramai.
Bahagian alatan make up untuk wanita.
Nasi ayam kukus berempah memang sedap.
Alatan komputer pun ada tak perlu pergi Low Yatt.
Pelbagai jenis barangan yang boleh diperolehi disini seperti pelbagai jenis baju dan pakaian siap, tudung, jersi bola sepak, aksesori rumah, perfume, kasut bundle, cd, dvd, jam tangan, beg tangan, tuala dan pelbagai lagi. Dan semua barangan yang dijual pula adalah kebanyakan barang tiruan ataupun replika seperti jam tangan, wangian, dan lain-lain. Jangan tertipu dengan pelbagai jenama yang ada kerana ia hanyalah replika.
Rendang daging dan ayam pun ada. Tidak perlu tunggu hari raya.
Peniaga sate.
Suasana pasar semakin gelap.
Waktu puncak atau pengunjung yang ramai adalah pada waktu malam iaitu selepas waktu Magrib. Pada masa itu, anda dinasihatkan tidak masuk melalui jalan utama untuk mengelakkan kesesakan. Seeloknya parking kenderaan anda diluar jika jem teruk, ataupun alternatif adalah parking di seberang jalan. Tetapi pastikan kereta dikunci sebaiknya dan mempunyai steering lock kerana berkemungkinan ada kes kecurian kenderaan.
Ayam goreng pun ada. Tidak perlu gi KFC.
Buah-buahan.
Jika haus boleh air bungkus sebelum pulang.
Memandangkan pelbagai barangan dijual di sini, pastikan anda menyenaraikan barang yang ingin dibeli, sila membuat perbandingan harga dan fikir semasak-masaknya sebelum membeli sesuatu barang. Jika tidak, silap-silap satu malam sahaja anda boleh membazir untuk barangan yang bukan keperluan dan tidak penting.

Jumaat, 25 Oktober 2013

Gerai Nasi Lemak Longkang?

Topik hari ini yang ingin penulis tuliskan ialah mengenai nasi lemak. Sebenarnya penulis pun baharu sahaja serapan dengan nasi lemak pagi tadi. Disebabkan ramai perniaga nasi lemak, ada pelbagai nama trademark yang diberi oleh pelanggan terhadap gerai mereka. Ini disebabkan perniaga-perniaga sendiri yang tidak meletakkan nama perniagaan mereka.
Gerai Nasi Lemak Longkang.
Nama-nama yang diberikan oleh pembeli-pembeli sebenarnya bukan menarik pun, tetapi gerai-gerai mereka tetap popular disebabkan keenakkan nasi lemak mereka.
Gerai ini berhampiran ngan longkang besar.
Jadi, anda jangan terkejut dengan tajuk di atas, tetapi itu lah hakikatnya. Gerai Nasi Lemak Longkang ini terletak di AU3 Hulu Kelang, betul-betul di hadapan kedai butik pakaian Maroz. Nasi lemak dan nasi campurnya memang popular.
Selain nasi lemak, makanan lain pun ada.
Gerai Nasi Lemak Longkang ini memang mempunyai ramai pelanggan setia dan kebiasaanya nasi lemak dan lauk pauknya sentiasa kehabisan. Penulis sangat beruntung kerana sering kali tiba ke gerai ini sebelum jam 8.00 pagi dimana keadaan pelangganya masih belum ramai. Ini mungkin kerana rata rata pekerja perindustrian dan orang ramai masih belum keluar membeli belah di sini.
Kakak ni sedang melayan pelanggan.
Nasi campur dan nasi lemaknya memang sedap rasanya dan antara kedua-dua nasi ini masing-masing mempunyai rasanya tersendiri dan biasanya nasi lemak lebih laku di pagi hari dan nasi putih lebih laku pada waktu tengahari. Selain nasi putih dan nasi lemak, gerai ini juga ada menyediakan menu masakkan lain seperti mee goreng, nasi goreng, mee sup, lontong dan kueh-mueh.
Kueh mueh tradisionalpun ada.
Kepada sesiapa yang masih belum mencuba adalah di cadangkan supaya mencubanya, harganya tidaklah terlalu mahal kerana harganya mengikut saiz ayam. Antara harganya ialah RM4, RM5, RM6 dan kebiasannya sebungkus nasi mengandungi nasi (putih/lemak) + ayam + acar/ulam + sambal/kuah kari... Selamat mencuba....
Nasi lemak lauk paru sambal.
Sebenarnya penulis pun tidak tahu apa nama sebenar gerai sini. Saje jer nak buat propa hahhahaAntara sebab gerai ini di gelar "Nasi Lemak Longkang" kerana mereka berniaga di tepi longkang besar. Tetapi, macam mana trademark ini diberi pun, masing-masing mempunyai kesedapan dari citarasa-citarasa pembeli yang mengemarkan kenakan kepuasan.

Rabu, 23 Oktober 2013

Pekena Nasi Lemak Saleha

Penulis sering kali lalu di hadapan gerai Nasi Lemak Saleha ini. Gerai ini sering kali dipenuhi dengan pelanggan terutama di sebelah pagi. Baru-baru ini penulis sempat singgah ke gerai ini. Ianya dibuka dari 5 pagi hingga ke 11 malam. Dahulu mereka hanya berniaga di tepi jalan dan di hadapan gerai sahaja. Tetapi, kini mereka sudah berniaga di dalam gerai. Mungkin mereka sudah membeli lot gerai tersebut!
Gerai Nasi Lemak Saleha di Kampung Pandan.
Jika anda lalu berhampiran lebuhraya MRR2, kawasan Ampang, boleh singgah makan di gerai ini terutama jika mereka yang hendak pergi shoping atau baharu pulang dari membeli belah di pasaraya Tesco Ampang. Gerai ini terletak berhampiran dengan lebuhraya MRR2. Anda hanya perlu masuk ke susur Kampang Pandan. Gerainya tidak jauh dari lampu isyarat. Anda boleh ‘check-in’ di FB, ‘Nasi Lemak Saleha (superb)’ ! Cuba cari, mesti jumpa!
Nasi lemak bungkus Saleha.
Ketika penulis sedang memilih lauk nasi lemak, penulis sempat berbual dengan kakak yang sedang membungkus nasi lemak (mungkin kakak ini yang bernama Saleha). Kakak itu kata, anggaran beras yang digunakan dekat 20 kilo sehari. Mereka menggunakan beras berjenama Masjid! Nasi lemak kosong mereka yang berharga RM1.20 sebungkus memang popular.
Nasi lemak Saleha.
Nasi Lemak Saleha adalah di antara nasi lemak tersedap yang pernah penulis nikmati setakat ini. Kriteria untuk menghasilkan nasi lemak yang sedap selain nasinya, ialah sambal dan lauk pauknya. Apa yang boleh penulis katakan sambal nasi lemak ini sangat sedap dan lauk pauk yang dihidangkan juga sangat sedap sehingga sukar untuk membuat pilihan. Rasa seperti mahu makan kesemua lauk pauk yang dijual. Semuanya sedap. Ada lauk ayam, ada sambal sotong dan juga paru goreng berlada.
Nasi lemak Saleha dijual di tepi jalan Seri Nilam, Ampang.
Di hadapan gerai ini, ada orang berniaga sate. Tanpa berfikir panjang, penulis pun memesan 3 cucuk sate ayam dan 3 cucuk sate daging. Penulis tidak order banyak, takut darah naik nanti. Secara peribadi, sate ini boleh tahanlah sedapnya. Jauh lebih sedap jika dibandingkan dengan sate-sate di pasar malam. Difahamkan peniaga sate ini hanya berniaga di sebelah malam sahaja. Jika pergi pagi, memang tiada....
Adakah kakak yang membungkus nasi lemak ini bernama Saleha?
Sambil menikmati makanan, mata penulis asyik melihat dan menghitung nasi lemak yang sedang dibungkus. Penulis anggarkan lebih dari 100 nasi lemak yang dibungkus! Sebungkus RM1.20 dengan telur rebus suku, sambal dan timun!. Jika sebelum ini kakak itu kata, hampir 20 kilo beras digunakan dalam sehari. Tetapi penulis rasa, lebih dari 20 kilo beras yang digunakan. 
Gerai Nasi Lemak Saleha dipenuhi pelanggan di waktu pagi.
Ketika penulis hendak bayar, penulis sempat tanya lagi kepada kakak itu, nasi lemak yang dibungkus ini hendak dihantar ke mana? Dia kata, nasi lemak ini akan dihantar lebih dari 10 tempat seperti di petrol pam, hentian bas dan teksi. Untuk pagi esok sahaja, suda ada 600 bungkus!. Pada masa itu juga, ada seorang pelanggan meminta menambah tempahan 100 bungkus lagi nasi lemak’. Pergh.... meriah berniaga

Isnin, 21 Oktober 2013

Air Lemuju

Pernahkah anda mendengar mengenai air lemuju? Penulis sendiripun baharu dapat tahu tetang air lemuju ini. Anak buah baru pulang dari kampung. Dia bawa beberapa botol air lemuju dan bagi percuma sebotol untuk penulis. Jika anda masih tidak tahu lagi, mungkin penjelasan ini boleh membantu anda semua meningkatkan lagi pengetahuan mengenai air herba lemuju ini.
Air Lemuju cap Suami-Isteri keluaran dari kampung penulis.
Tumbuhan dikot ini biasa ditanam sebagai tumbuhan laman kerana penggunaanya dalam masakan dan juga sebagai hiasan.Daunnya yang berbau wangi boleh dijadikan pengganti daun oregano dalam masakan terutamanya masakan itali dan barat.
Pohon herba Lemuju - Foto gooogle.
Air Lemuju ini dihasilkan dari daun herba iaitu pokok Lemuju. Jika dahulu kewujudan pokok herba ini seakan-akan tidak dipedulikan. Kadang-kadang kalau di kampung, pokok Lemuju banyak didapati tumbuh meliar di halaman rumah, kebun, kadang-kadang di batas sawah pun ada, Ini kerana kelebihan yang ada lebih banyak dibanyangi pokok herba yang lain seperti pokok Serai.
Stok air lemuju baru tiba dari kampung.
Khasiat daun Lemuju adalah untuk merapi dan menyihatkan rambut dengan cara meramas beberapa helai daunnya dan dilumurkan pada kepala. untuk merawat luka pula, seriawan dan ulser pula lekapkan daunnya pada bahagian yang terlibat. Jus atau ekstrak airnya boleh digunakan untuk merawat kembung perut dan angin dalam badan
Air Lemuju.
Air Lemuju juga mempunyai pelbagai khasiat untuk tujuan perubatan dan kesihatan. Antara penyakit dilaporkan sembuh menggunakan rawatan tradisional produk air Lemuju adalah seperti berikut: 
  • MEMBUANG ANGIN 
  • KEMBUNG PERUT
  • SAKIT SENDI 
  • WANITA DALAM PANTANG (SELEPAS BERSALIN) 
  • SAKIT DADA 
  • PEDIH HULU HATI (GASTRIK) 
  • BISA 
  • BATUK 
  • BATU KARANG 
  • MUNTAH-MUNTAH 
  • LELAH 
  • SENDAWA 
  • SAKIT GIGI 
  • MASALAH PENGHADAMAN 
  • PENYAKIT RAHIM WANITA 
  • DEMAM 
  • MELANCARKAN PERJALANAN DARAH 
  • SAKIT KEPALA 
  • PENING KEPALA
  •  DEMAM KURA

Khasiat air lemuju yang tertulis dibotol.
Sejak akhir-akhir ini perut penulis sering kali sakit-sakit kerana terlalu banyak angin. Tetapi akhirnya air Lemuju Cap Suami Isteri telah menyelamatkan keadaan. Dekat setengah botol penulis minum air Lemuju ini. Tidak mengapa sebotol hanya RM2 sahaja. Tetapi berkesan untuk membuang angin.

Jumaat, 18 Oktober 2013

Majlis Perkahwinan Anak Saudara di Tasik Titiwangsa

Hari Minggu lepas, penulis ke Tasik Titiwangsa menghadiri majlis perkahwinan anak saudara sebelah isteri. Kiranya majlis ini adalah menyambut menantu. Majlis ini dibuat secara sederhana tetapi meriah kerana ianya dilangsungkan di dalam sebuah taman di Tasik Titiwangsa. Ini adalah pengalaman pertama penulis menghadiri majlis perkahwinan berkonsepkan seperti ini.

Semoga jodoh dan perkahwinan Muhamad Azami dan Rohana ini berkekalan sehingga ke hujung nyawa dan berbahagia senantiasa. Kebetulan penulis bawa kamera kecil Nikon 1. Jadi, sempatlah penulis merakamkan foto gelagat pengantin dan saudara mara. Jomlah kita layan foto-fotonya. Kebanyakkanya penulis rakamkan secara candid sahaja.
Isteri dan anak penulis sedang menikmati hidangan.
Pengantin lelaki di sebalik kaca mata hitam.
Khemah penyambut tetamu.
Saudara mara yang hadir.
Saudara mara yang hadir.
Pengantin serba merah.
Pengantin layan tetamu.
Pengantin.
Senyuman manis dari pengantin perempuan.
Pengantin lelaki.
Oleh kerana penulis ada urusan penting yang hendak diselesaikan, hanya foto-foto ini sahaja yang sempat dirakamkan....