Sabtu, 30 April 2011

Pesta Buku Antarabangsa

Tadi penulis pergi ke pesta buku. Ramainya orang sehingga jalan menjadi sesak dari Jalan Kuching hingga ke PWTC. Di PWTC, agak susah penulis hendak mencari parking. Semasa penulis berada di pameran buku, pengunjung semakin ramai. Suasana bertambah sesak sehingga hendak bergerak dari gerai ke satu gerai yang lain agak sukar. Ianya agak merimaskan penulis...

Sesak dengan kenderaan di hadapan bangunan PWTC.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur memang menjadi tumpuan peminat buku dari seluruh negara setiap tahun. Ianya menjadi tempat pencinta buku untuk mencari buku dengan harga yang menarik. Antara gerai yang paling meriah setiap tahun adalah gerai PTS, Karangkraf dan Creative Enterprise. Ketiga-tiganya mendapat sambutan hangat kerana peminat buku ingin membeli novel-novel popular di pasaran.

Pintu masuk PWTC, penuh sesak dengan pengunjung.

Pencinta buku memenuhi Pesta Buku kali ini.

Penulis sempat berkunjung ke gerai DBP. Penulis dapati gerai DBP kelihatan suram. Tidak semeriah di gerai PTS dan Karangkraf. Pihak DBP perlu melakukan sesuatu perubahan yang lebih kreatif lagi. Jika tidak, mereka akan tewas dalam kerancakan industri pernerbitan buku negara di masa kini. Ini hanyalah saranan dan pandangan ikhlas peribadi penulis. Tiada maksud yang tersirat dan tersurat.

Suasana di Gerai Sasbadi.

Sesuasana di gerai Telaga Biru.

Apa-apa pun, pesta buku ini menjadi tumpuan pada hari cuti umum, cuti Sabtu dan Ahad. Penulis berpendapat bahawa ada baiknya pesta buku ini diadakan pada musim cuti persekolahan. Tetapi, yang menjadi masalahnya, cuti persekolahan ini jatuh pada pertengahan bulan yang mengehadkan kuasa pembeli.

Ronda-ronda ambil gambar.

Macam-macam buku ada di Pesta Buku kali ini.

Ada sesiapa yang masih belum mengunjungi pesta buku ini? Cepat-cepatlah berkunjung ke PWTC sebelum terlambat. Jangan lepaskan peluang ini. Lebih-lebih lagi buat mereka yang suka membaca buku. Cepat! esok adalah hari terakhir untuk pesta buku ini.

Isnin, 25 April 2011

Kali Pertama Menonton 3D

Walaupun penulis sering kali menonton wayang, baru semalam berpeluang merasai nikmat menonton wayang 3D di KLCC.

Anakda dalam perjalanan ke pawagam di tingkat 4 KLCC.

Filem yang kami tonton adalah Justin Bieber: Never Say Never. Tiket berharga RM18 untuk orang dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak. Walaupun agak mahal, tetapi masih penuh satu panggung sehingga ada yang sanggup membeli tiket walaupun hanya tempat duduk pada barisan depan saja yang tinggal.

Kuater teket.

Sebelum masuk ke dalam panggung, setiap pengunjung akan diberi satu cermin mata khas. Hanya dengan menggunakan cermin mata ini, barulah kewujudan 3D itu dapat dilihat dan dirasai. Ramai juga yang tergedik-dedik mengambil gambar masing-masing menggunakan cermin mata khas itu, mungkin mereka ingin meletakkan gambar tersebut pada laman sosial atau blog masing-masing.

Anakda dan poster Justin Bieber.

Secara keseluruhannya memang kami berpuas hati dengan filem ini, walaupun kurang faham dengan plot cerita kerana tiada subtitle dipaparkan untuk filem 3D. Penulis labelkan filem ini sebagai sebuah filem dokumentari.

Harga tiket menonton wayang 3D.

Filem dokumentari ini menceritakan kehidupan Justin Bieber sejak dari kecil sehingga menjadi penyanyi popular di seluruh dunia, sekarang. Melihatkan gelagat Justin Bieber dan kegilaan peminatnya, agak kelakar juga kerana ramai penonton yang bergelak ketawa sepanjang filem ini berlangsung. Kadang-kadang kenapa mereka ketawa pun penulis tidak tahu, mungkin disebabkan penulis yang tidak faham.

Anakda dan cermin mata khas menonton filem 3D.

Penulis bukan peminat Justin Bieber. Anak dara penulis yang beria-ria mengajak menonton filem ini. Sebenarnya filem ini tidak membosankan, cuma penulis tidak puas hati kerana ianya bukan filem muzikal.

Sempat berposing di luar bangunan KLCC.

Anda boleh menonton filem ini di pawagam berdekatan untuk mengetahuinya secara lebih lanjut. Tetapi untuk tontonan 3D hanya ada di pawagam tertentu saja. Bagi penulis, filem ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga jika anda ingin menghabiskan masa bersama dengan keluarga tercinta.

Sabtu, 23 April 2011

Orang melayulah yang memfitnah orang melayu

“Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) cawangan Sarawak mendesak kerajaan BN supaya jangan keterlaluan melayan tuntutan kaum Cina yang didakwanya sanggup “membalas susu dengan tuba”

Penulis bukan mahu mengheret pembaca blog ini dalam masalah politik. Tetapi penulis kesal kenapa prajudis terhadap bangsa lain masih tebal sedangkan terus terang penulis katakan orang melayu sendiri sudah berpecah belah, tidak bersatu, fitnah memfitnah sesama sendiri. Senario yang jelas kita lihat sekarang. Adakah orang cina memfitnah orang melayu dalam video seks? Tidak bukan? Orang melayulah yang memfitnah orang melayu. Orang cinakah yang membuka pekung orang melayu? Tidak bukan, tetapi orang melayu itu sendiri.

Orang yang sering membantu orang yang dianiaya ini adalah orang berbangsa cina. Ketika menulis perkara ini penulis benar-benar tidak perasan kerana penulis diburu emosi yang keterlaluan dan rasa kecewa dengan sikap orang Islam sendiri dan apabila sudahnya cerita ini, baru penulis sedar. Sikap orang melayu yang membunuh semangat orang melayu sendiri.

Jelas sekali dalam ayat Al Quran kita tidak boleh berlaku tidak adil pada orang-orang yang bukan Islam. Tetapi kenapa isu ini tidak habis-habis timbul dan tidak ditangani dengan baik dan sempurna. Bukannya menyalahkan orang-orang bukan Islam ini?

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Qs 60:8)

Ayat Quran di atas mengingatkan kepada setiap umat Muslim agar berlaku baik dan adil biarpun terhadap seorang bukan Islam.

Sumber: Norhayati

Khamis, 21 April 2011

Satay Station

Pernah dengar Restoran Satay Station? Bagi peminat rancangan Jalan-Jalan Cari Makan mesti pernah melihat restoran ini di TV3. Beberapa hari yang lalu, penulis sempat ke sana untuk menikmati makan malam bersama keluarga. Idea hendak menjamu selera di Restoran Satay Station ini datang secara spontan ketika dalam perjalanan pulang dari pasaraya Tesco Ampang. Ramai yang mengakui satay di restoran ini memang sedap. Restorannya pun agak unik, seperti rumah kampung yang hendak menyambut hari raya.

Satay Station Kampung Pandan.

Pintu masuk Satay Station.

Kami tiba di restoran Satay Station ini, lebih kurang pada jam 7 petang. Memang betullah kata orang, tempat ini tidak nampak seperti sebuah restoran. Sekali pandang seperti rumah orang sedang membuat jamuan makan atau majlis perkahwinan. Rumah tradisional ini dihiasi dengan langkap yang cantik dan dijadikan sebuah restoran satay.

Satay Station.

Mee Rebus.

Kami hanya memesan 10 cucuk satay daging dan ayam. Semangkok mee rebus dan tiga gelas air buah. Kami tidak perlu menunggu lama untuk menikmati mee rebus yang dimasak. Cuma menunggu satay agak lama sedikit kerana satay perlu di bakar selepas menerima pesanan. Mee rebusnya memang yang terbaik, kelazatan dengan kuahnya yang pekat lagi likat sehingga tanpa segan silu, penulis menghirup kuahnya sehingga licin. Harganya RM6 semangkuk. Agak mahal, tetapi rasanya memang ada ump!...

Anakda sedang menikmati mee rebus.

Satay yang kami pesan.

Saiz satay di restoran ini agak besar sesikit daripada Satay Kajang. Jika hendak dibandingkan rasa, penulis lebih berselera menikmati satay di Restoran Satay Station daripada Satay Kajang. Harganya 10 sen lebih mahal tapi apalah sangat hendak dikira dengan harga, jika rasanya yang lebih enak dan bersaiz besar.

Sedang menikmati Satay Station.

Sataynya yang agak besar.

Jika hendak jalan-jalan cari makan, restoran Satay Station inilah tempatnya. Rumah kampung sebagai tempat menjamu selera ini memang mengasyikkan kita. Selesai makan, masih ramai pelanggan yang berborak dan lepak di situ. Mana tidaknya, mereka seolah-olah berada di rumah sendiri dengan udara yang dinyamankan oleh alat penghawa dingin. Bagi penulis, restoran ini amat sesuai untuk reunion yang sekadar untuk makan-makan. Ada juga bilik yang disediakan khas untuk ‘tetamu’ yang agak ramai.

Sudah cukup mengenyangkan.

Suasana di Satay Station.

Entri ini hanya sekadar padangan peribadi penulis. Pihak Restoran Satay Station tidak beri makan percuma pun hehe. Tetapi, jika pengusaha Satay Station terbaca entri ini, penulis sanggup makan satay percuma sehingga kenyang hehe.

Isnin, 18 April 2011

Masih Terserlah Ayumu

Foto sekadar hiasan.

Cepat benar engkau pergi
Hujan masih belum berhenti
Apakah kerana soalan ku tadi
Hatimu terusik kini... ooo
Sebagai kekasih mu
Layak aku bertanya
Sekuat mana cinta mu

Sayang bukannya sehari dua
Percintaan kita ini
Yang dipersudah dipateri
Sayang jangan ikut perasaan
Marah jangan disimpan
Ku hanya ingin menduga
Dan kini aku tahu
Satu kekasihmu hanya aku

Marilah kasih aku dendangkan
Lagu yang pernah mencuri hatimu
Ooo.. marilah kasih biar kusimbah
Api kemarahan yang membakar di benak
Di benak mu...

Terpaksa ku berlari
Memintas mu dari pergi
Akan ku belai rambut mu yang basah
Masih terserlah ayunya wajah mu
Walau pun marah
Walau pun marah, ayu wajahmu
Masih terserlah... ooo...
Ayu wajahmu...

Lagu: Exist

Sabtu, 16 April 2011

Segama Waterfront

Kunjungan ke Kota Kinabalu pasti tidak lengkap jika tidak menikmati suasana petang di Segama Waterfront. Luanglah sedikit masa untuk melihat sinar matahari dengan perlahan terbenam disebalik Laut Cina Selatan membiru. Sementara menanti pernerbangan pulang ke semenanjung, kami berehat-rehat di Segama Waterfront.

En. Taib dan Erma di Waterfrond Kota Kinabalu.

Penulis dan En. Taib menikmati angin petang di Waterfront.

Menikmati air kelapa masam-masam manis.

Mahal air kelapa di sini. Sebiji RM5.50.

Waterfront yang menjadi tarikan ialah Segama Waterfront di persisiran pantai Jalan Tun Fuad Stephen iaitu berdekatan dengan Hotel Hyatt Regency dan tidak jauh dari tempat membeli belah. Taman ini telah dibina pada 27 Mac 2007 dan siap sepenuhnya pada 30 Jun lalu bukan sahaja direka bentuk dengan agak unik tetapi juga lokasinya yang strategik iaitu di tengah-tengah bandar raya serta berhadapan Laut China Selatan dan berlatar belakangkan pulau-pulau.

En. Taib menikmati pemandangan Indah di Waterfront Kota Kinabalu.

Matahari terbenam di Waterfront Kota Kinabalu.

Apa yang menariknya hiasan arca ikan, dek kayu dan lampu yang menarik boleh anda lihat di sepanjang waterfront ini. Waterfront ini sesuai sekali untuk berehat dan melepaskan penat terutama mereka yang baru selesai membeli-belah di kawasan berdekatan atau anda boleh ke sini untuk bersiar-siar sambil menyedut udara segar dan menikmati keindahan waktu malam. Ramai juga penduduk tempatan sendiri yang datang ke sini mengambil angin dan memancing.

Jumaat, 15 April 2011

Pasar Malam Sinsuran

Walaupun setiap petang, di Kota Kinabalu hujan, tetapi kami masih lagi berkesempatan berkunjung ke pasar malam Sinsuran. Di sana kami dapat melihat peniaga menjual kristal dan mutiara. Ianya barang untuk perhiasan wanita, bukan untuk lelaki. Kaum lelaki boleh beli tetapi untuk isteri, awek, emak atau adik-adik perempuan. Sesiapa yang melawat Sabah, kena beli benda-benda ini sebagai ole-ole. Apa istimewanya mutiara di sabah ini? jawapannya sudah pastilah murah. Di bawah ini, ada beberapa gambar yang sempat dirakamkan.

Pasar malam Sinsuran.

Muatiara Sabah.

Cantik tak gelang ini?

Kerongsang mutiara Sabah.

Erma dan en. taib sedang memilih cincin.

En. Taib menghabiskan baki RMnya di Pasar Malam Sinsuran.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk berangkat pulang.

Percaya atau tidak, Pasar Malam Sinsuran jauh lebih murah berbanding di Pasar Filipina. Jika harga kerongsang di Pasar Filipina berharga RM20 untuk satu keronsang, maka di pasar Sinsuran anda boleh menapatkannya dengan harga RM20 untuk 12 kerongsang!. Ya, pada mulanya kami tidak tahu dan sudah banyak duit digunakan di Pasar Filipina. Di dalam pesawat Firefly, barulah penulis sedar bahawa harga di Pasar Malam Sinsuran jauh lebih murah.

Khamis, 14 April 2011

Pasar Pilipine

Hari terakhir di Sabah, kami ke Pasar Kraftangan Kota Kinabalu atau pun dikenali sebagai Pasar Filipina di kalangan penduduk tempatan. Penulis sendiri tidak tahu kenapa pasar ini dinamakan Pasar Filipina, mungkin ramai pendatang Filipina yang berniaga di pasar ini.

Pasar Pilipine, Kota Kinabalu.

En. Taib sedang memilih rantai mutiara di Pasar Pilipine.

Pasar Kraftangan Kota Kinabalu atau pun lebih dikenali sebagai Pasar Filipina di kalangan penduduk dan pelancong adalah merupakan satu tempat yang cukup terkenal di Bandaraya Kota Kinabalu. Ia terletak di Jalan Tun Fuad Stephen bertentangan dengan Kompleks Sinsuran.

Pak Lah sudah lebih 20 tahun berniaga di Pasar Pilipine.

Erma menunjukkan keronsang terjual di gerai Pak Lah.

Terdapat beraneka jenis kraftangan dijual di sini. Selain cenderamata dan kraftangan tempatan seperti rantai kunci, T-shirt dan juga ukiran kayu, terdapat juga kraftangan daripada negara-negara Asia yang lain. Sarung batik, tikar rotan, ukiran khat, kerongsang dan juga mutiara boleh ditemui di pasar ini.

Gelang kulit mutiara di Gerai Pak Lah.

Suasana di dalam pasar Pilipine.

Di sini, kami singgah ke gerai Pak Lah di lorong nombor 7. Menurut rakan penulis, Pak Lah ini merupakan pesara tentera yang berasal dari Kelantan. Pak Lah ini sudah 20 tahun berniaga dan menetap di Kota Kinabalu, khabarnya dia berkahwin dengan orang Sabah. Oleh karana rakan penulis telah lama mengenali Pak Lah, kami mendapat potongan harga yang paling istimewa ketika membeli rantai mutiara di gerainya. Apalagi kami memborong sakanlah di gerai Pak Lah. Terima kasih daun keladi Pak Lah.

Gerai ikan masin.

Erma sedang tawar menawar dengan tauke ikan masin.

Selain itu, di Pasar Filipina ada banyak gerai yang menjual ikan masin. Di sini, kami berjumpa dengan seorang peniaga wanita yang comel dan cuba mengoda kami supaya membeli ikan masinnya. Kamipun cuba tawar menawar, namun kakak comel ini telah berjaya membuatkan hati kami cair untuk memborong ikan masin di gerainya. Kali pertama dalam sejarah penulis, telah menghabiskan sebanyak RM100 hanya untuk ikan masin. Nampaknya, semakin naiklah penyakit darah tinggi, jika tibai kesemua ikan masin ini.

Peniaga ini sedang mengoda en. Taib supaya membeli ikan masinnya.

Sekotak ikan masin kami borong.

Penat membeli belah di Pasar Filipina, kami pekena air kelapa muda masam-masam manis yang berharga RM5.50 di Sabah Waterfront pula.....fuuuhhhhhhh, sejuk dan segar!

Rabu, 13 April 2011

Ikan Bakar Pasar Pilipine

Setelah selesai berbengkel, kami bersiap-siap untuk makan malam. Kami ke Pusat Bandar Kota Kinabalu untuk menjamu selera. Pada malam tersebut kami bebas untuk makan di mana-mana. Oleh itu, kami memilih gerai di belakang Pasar Filipina yang menjual pelbagai jenis makanan laut termasuk ikan bakar.

Kepak ayam panggang di medan selera Pasar Pilipine.

Ikan segar yang pelbagai saiz.

Pemandangan medan selera menjelang senja.

Ikan bakar yang dipaparkan terdiri dari pelbagai jenis dan saiz. Harga mengikut saiz dan jenis. Kebiasaan jika bersaiz besar, harga dalam likungan RM30 seekor dan jika kecil ialah RM 8. Sekiranya ingin mencuba lobster, harga dalam likungan RM 50 - RM 80 seekor mengikut saiz.

Pasar basah Pasar Pilipine.

En. Taib dan Erma sedang menikmati ikan bakar.

Makan malam kami.

Malam tersebut kami memilih seekor ikan sederhana besar, sotong dan udang untuk makan bertiga. Kami menikmati makanan tersebut hanya berkuahkan kicap ABC sahaja. Namun begitu, kami puas meratah makanan tersebut sehingga licin.

Pelanggan sedang membeli kepak ayam panggang.

Ikan bakar Pasar Pilipine.

Bermacam-macam makanan laut ada di Pasar Pilipine.

Selesai menjamu selera, hujanpun turun dengan lebatnya dan kami sempat berteduh di Pasar Filipina yang terdapat beberapa buah kedai masih dibuka. Kebanyakkan kedai telah ditutup pada waktu malam. Kami tidak membeli belah, hanya menanti hujan berhenti untuk pulang ke hotel.