Selasa, 30 November 2010

Sukan Asia Guangzhou

Penulis dan rakan-rakan Famemas bergambar kenangan di hadapan bangunan Guandong Folk Arts Muuseum.

Sukan Asia Ke-16 telah berlangsung di bandar raya Guangzhou dari 12 hb hingga 27hb November 2010 yang lalu. Kami dari rombongan “Kelab Penyokong Malaysia” anjuran kelab Famemas Malaysia telah berada di bandar raya selatan negara China ini, selama seminggu untuk memberi sokongan moral kepada atlit Malaysia yang sedang bertanding di Sukan Asia.

Penulis berpendapat, Sukan Asia Guangzhou kali ini merupakan temasya sukan yang memaparkan pelbagai budaya di Asia di samping mementingkan pembangunan yang berterusan. Sukan Asia Ke-16 Guangzhou merupakan Sukan Asia yang paling banyak menawarkan acara sukan. Selain 28 acara sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Beijing, tuan rumah juga telah menambah 14 acara sukan yang amat popular di rantau Asia untuk menarik penyertaan lebih ramai atlet dari pelbagai negara Asia.

Pihak penganjur Sukan Asia Guangzhou, memberitahu bahawa sepak takraw adalah antara 14 acara sukan tersebut. “Walaupun sepak takraw bukan acara sukan Olimpik Beijing, tetapi ia ditetapkan sebagai acara yang dipertandingkan dalam Sukan Asia Guangzhou. Acara sepak takraw mempunyai enam kategori termasuk berpasukan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.

Seawal bulan Januari 2008, penganjur Sukan Asia Guangzhou telah memperkenalkan promosi acara sepak takraw dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw China. Pangkalan latihan sepak takraw telah ditubuhkan di Sekolah Menengah No.3 di Guangzhou untuk mempopularkan acara sukan ini. Usaha ini membolehkan penduduk Guangzhou lebih memahami kebudayaan yang wujud di Asia Tenggara.”

Untuk menonjolkan keistimewaan dan keunikan negara-negara Asia, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Guangzhou telah mengadakan siri program kebudayaan dalam tempoh persiapan temasya sukan ini. Selain itu, pelbagai pameran dan persembahan kebudayaan sedang berlangsung di Sukan Asia Guangzhou kali ini.Di samping memaparkan pelbagai budaya di Asia, tuan rumah Sukan Asia Guangzhou juga mementingkan pembangunan secara berterusan dalam pembinaan dan reka bentuk kemudahan sukan.

“Pembangunan sukan yang seimbang di pelbagai kawasan di Guangzhou telah diambil kira dalam persiapan temasya sukan ini. Venue-venue untuk pertandingan dan latihan yang bertaburan di 10 daerah dan dua pekan di Guangzhou. Sementara itu, stadium yang sedia ada juga dimanfaatkan. Antara 70 venue Sukan Asia Guangzhou, hanya 12 venue sahaja yang baru dibina. Kesemua 12 stadium sukan ini bertaburan di daerah yang kekurangan kemudahan sukan sebelum ini. Dengan mengambil kira pelan pembangunan bandar raya Guangzhou, Pekan Sukan Asia Guangzhou yang mengandungi perkampungan atlet, perkampungan juruteknik, perkampungan anggota media, pusat penyiaran antarabangsa serta pusat media telah dibina di kawasan baru. Selepas Sukan Asia Guangzhou berakhir, kawasan ini akan dijadikan kawasan perumahan yang mempunyai persekitaran baik dan kemudahan yang lengkap.”

Difahamkan, teknologi mesra alam telah digunakan dalam pembinaan venue-venue Sukan Asia Guangzhou, terutamanya Gimnasium Pekan Sukan Asia Guangzhou. Seramai 14 ribu atlet dan pegawai sukan, 4500 juruteknik serta 9500 anggota media dari 45 negara dan kawasan di Asia telah menyertai Sukan Asia Guangzhou yang telah dinanti-nantikan oleh semua rakyat Asia. Temasya sukan ini telah berlangsung dengan jayanya.

Sabtu, 20 November 2010

Ayam Kampung Goreng Velodrom


Rasanya, baru dulu kemarin penulis dan rakan-rakan menjamu selera di gerai nasi ayam kampung di medan selera, velodrom, Bandar Tun Razak ini. Hari ini, sudah ada berita tentang restoran tersebut terkeluar di akhbar harian Kosmo.

Antara berita menarik di keratan akhbar tersebut ialah:

"Seorang pengujung dari Tasik Permaisuri, Tok Deanz, memberitahu, beliau sudah jatuh cinta dengan kelazatan ayam kampung dan masakan kampung lain seperti gulai ikan, masak lemak cili padi, kerabu dan banyak lagi di situ

"Bukan sahaja ayam kampung goreng yang menjadi pilihan di sini, tetapi juga kebanyakan menu masakan kampung dengan ulam-ulaman serta sambal belacan juga sedap" katanya.

Kata Tok Deanz lagi, walaupun harga ayam kampung goreng agak mahal berbanding ayam goreng biasa iaitu rm5.00 seketul, tetapi ia tetap berbaloi.

Sementara itu, seorang pereka grafik, Anjang 35, juadah nasi ayam kampung goreng menjadi menu hariannya bersama rakan sekerja.

"Selain gareng dan isinya lembut, ayam kampung goreng ini juga tidak berminyak," tambahnya.

Khamis, 18 November 2010

Kopitiam Hai Peng Kemaman

Negeri di pantai timur merupakan negeri-negeri yang mengadap Laut China Selatan dan mempunyai persisiran pantai yang sangat cantik. Negeri-negeri ini sering kali menerima musim tengkujuh pada setiap tahun. Walaubagaimanapun hanya dua buah negeri sahaja yang memiliki unsur-unsur budaya yang menarik dan menjadi pilihan para pelancong. Hairan juga mengapa kelebihan itu hanya terbatas kepada sempadan negeri Terengganu dan Pahang sahaja.

Kopitiam Hai Peng di Kemaman.

Ramai antara kita yang berkunjung ke sana dengan tujuan tersendiri. Ada yang menziarahi sahabat-handai, menemani anak-anak yang terpilih mengikuti pengajian sekolah berasrama dan IPT, rombongan majlis perkahwinan dan sebagainya. Hubungan silatulrahim adalah digalakkan. Berkunjung dan berjumpa dengan ahli keluarga dan sahabat handai yang sudah lama tidak berjumpa adalah satu ikhtibar.

One Foto sedang memesan kopi dan roti.

Kami sedang menikmati roti dan kopi kaw di kopitiam Hai Peng.

Oleh kerana penulis, editor dan jurufoto ada tugas rasmi di Kuala Terengganu, kami masih berkesempatan mencuri masa untuk melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar bandar Kemaman dan Kota Bharu. Seperti biasa, apabila sudah lama tidak melawat ke pantai timur, pasti banyak benda yang kami lihat, amat mengkagumkan.

Antara produk-produk yang terjual di Kopitiam Hai Peng.

Antara barang-barang antik yang dipamerkan di Kopitiam Hai Peng.

Apabila kenderaan kami melalui bandar Cukai Kemaman, kami singgah sebentar ke sebuah kedai kopi yang dikatakan mendapat perhatian orang ramai. Ianya merupakan antara ‘kopitiam’ yang terkenal di Malaysia dan salah satu yang terawal, dibangunkan pada sekitar tahun 1940 an. “Old Town Kopitiam” satu-satunya berasal dari Ipoh kini menjelma di semua bandar besar nampaknya ingin ‘ride on the bandwagon’ atau menarik peminat yang kini gemar minum kopi dan menikmati nostalgia lama.

Roti dan kopi yang menarik perhatian ramai pelanggan di Kopitiam HaiPeng.


Antara kueh tradisional yang terjual di Kopitiam hai Peng.

Apa pun mari kita lihat apakah kecanggihan ‘Kopitiam Hai Peng Kemaman? Melihat gambar-gambar di atas, jelas memperakui kehebatan kedai kopi ini di bandar Cukai Kemaman dan seringkali mendapat perhatian khusus dalam majalah terkemuka. Sebenarnya kami pernah ke sini beberapa tahun yang lalu. Jelas keistimewaannya masih kukuh dan hebat. Pelanggannya semakin ramai. Bandar Cukai pula membangun dengan begitu pesat sekali.

Selasa, 16 November 2010

Nasi Ayam Kampung

Penulis selalu juga menikmati Nasi Ayam Kampung yang terletak di medan selera Veladrom, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. Setiap kali penulis menikmati makan tengahari, medan selera ini sentiasa dipenuhi dengan pelangan. Mungkin terlalu ramai pelangan, pengusaha restoran ini terpaksa meletakkan lebih banyak kerusi dan meja di bahagian belakang restoran. Di belakang restoran ini ada kawasan lapang dan terdapat bebarapa batang pokok kelapa sawit dan pokok-pokok lain untuk berteduh.

Rakan-rakan tidak sabar menikmati nasi ayam kampung.

Medan Selera Bandar Tun Razak.

Restoran ini menghidangkan ayam goreng kampung yang masih panas. Bertambah enak ayam goreng ini dicecah dengan sambal belacan dan berulamkan sayur-sayuran segar. Dengan menu istimewa ini, restoran ini berterusan dikunjungi pelangan terutama di waktu puncak. Harganya boleh tahan juga, ayam goreng sahaja sudah RM5 seketul. Makanan boleh minta dihidang atau ambil sendiri secara sepinggan. Restoran ini diusahakan oleh orang Kelantan, jika hendak diskaun, kenalah kecek kelantan... baru boleh dapat diskaun he.. he...


Suasana di waktu tengahari.

Nasi ayam kampung berulamkan sayuran segar.

Restoran ini selain menjadi tumpuan orang ramai, ia juga menjadi tumpuan kakitangan HUKM, MPIK dan MPT. Mungkin telah mendapat keuntungan yang agak besar atau memperolehi rezeki yang berlebihan, maka pengusaha restoran ini telah membeli sebuah bangunan. Bangunan restoran nasi ayam kampung yang baru dibeli ini hanyalah bersebelah di medan selera sahaja. Tetapi hasil pemerhatian penulis, pengunjung lebih menggemari lokasi santai di bawah pokok yang terdapat di medan selera tersebut.

Berdoa sebelum menikmati nasi ayam kampung.

Kekenyangan selepas menikmati nasi ayam kampung.

Selain cawangan ini, difahamkan restoran ini juga terdapat cawangan ditempat lain. Tetapi penulis tidak tahu, di mana yer?

Selasa, 9 November 2010

Berkongsi Minat

Bagi penulis, mengambil gambar bukan sahaja sekadar hobi untuk mengisi masa lapang, malah, aktiviti ini boleh mengeratkan atau merapatkan hubungan kekeluargaan antara kami dalam satu majikan. Maklumlah pejabat penulis, di Bahagian Kreatif dan Multimedia berjauhan dengan bahagian-bahagian lain di ibu pejabat. Dalam masa yang sama kami dapat berkongsi pengalaman iaitu teknik, cara dan tips bagaimana untuk mengambil gambar sambil berekreasi. Hampir setiap cuti hujung minggu, kami menganjurkan outing beramai-ramai ke lokasi menarik bagi merakam gambar kegemaran kami.

Minat fotografi menyatukan rakan-rakan sepejabat pelbagai bahagian dengan meluangkan masa bersama mengambil gambar.

Antara lokasi pilihan kami ialah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Puterajaya. Pada setiap cuti hujung minggu, kami akan menjelajah hingga ke negeri Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Melaka yang mempunyai banyak pantai yang cantik, bangunan dan destinasi bersejarah. Penjelajahan kami ke pelbagai lokasi yang menarik ini membolehkan kami mengambil gambar mengikut konsep kegemaran masing-masing seperti Shutter Speed, Still Life, Modelling, Moment / Candid dan Landskap.

Semasa di Banjaran Titiwangsa.

Kebanyakkan kami, staff dari Bahagian Kreatif dan Multimedia ada yang telah mempelajari asas fotografi daripada kursus-kursus yang dianjurkan oleh majikan kami, namun ada juga rakan-rakan yang menyertai kumpulan kami tiada langsung pendedahan formal dalam bidang ini termasuk dari bahagian-bahagian lain. Walaupun kami dari bahagian berbeza, kami mempunyai minat sama iaitu fotografi dan hobi. Oleh itu, membolehkan kami melakukan aktiviti bersama pada cuti hujung minggu dan cuti am bagi melapangkan fikiran.

Semasa di empangan Sungai Burung, Sekinchan, Selangor.

Sebagai contoh, penulis minat mengambil gambar pemandangan. Dengan menyertai outing bersama rakan-rakan sekerja yang mempunyai hobi sama seperti ini, penulis mendapat inspirasi lokasi indah dan sesuai untuk penggambaran itu seperti di Tasik Perdana, Hutan FRIM serta Dataran Putrajaya. Kesempatan ini, penulis digunakan bagi mencuba kamera Digital Refleks Kanta Tunggal (DSLR) yang dilengkapi teknologi canggih dan menghasilkan gambar berkualiti berbanding kamera digital biasa.

Menyusuri Tasik Banding di Gerik, Perak.

Pada awalnya, penulis diminta menjadi model bagi sesi fotografi kumpulan Warong Foto ini dan akan terus menyertai sesi outing ini jika ada kelapangan kerana turut berminat mengambil gambar berkonsepkan landskap ini. Sesi outing bersama kumpulan ini adalah saluran bagi melepaskan tekanan setelah sibuk berkerja sepanjang hari di pejabat. Terlalu banyak pengalaman yang menarik apabila merakamkan gambar semasa kami outing tempohari. Penulis, kini sudah tidak sabar untuk menyertai lawatan ke Broga, Semenyih. Di sana, kami dapat merakamkan gambar matahari terbit dan terbenam sebagai koleksi peribadi.

Mengambil gambar pengantin di Bandar Melaka.

Apabila menyertai aktiviti kumpulan kelab Warong Foto seperti ini, bukan saja membolehkan kami berkongsi pengetahuan dalam bidang fotografi dan merapatkan hubungan sesama kami, malah kami dapat berekreasi sesama sendiri. Apabila mengunjungi taman-taman awam, kami dapat meluangkan masa dari pagi hingga petang kerana berjalan jauh bagi mencari lokasi yang sesuai untuk menangkap gambar. Kata orang, jauh perjalanan luas pandangan.

Selasa, 2 November 2010

Aku Anak Petani

Semasa penulis dan rakan-rakan ditugaskan mengambil gambar sawah padi tempohari, penulis begitu teruja kerana suasana di kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang ini adalah sama seperti di kampung penulis. Kampung penulis di Sabak Bernam pun di kelilingi sawah padi juga. Sememangnya daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang adalah berjiran. Budaya dan suasananya juga adalah sama.

Sudah sampai pekan Tanjong Karang.

Penulis merupakan anak seorang pesawah padi. Penulis sangat bangga kerana membesar di dalam lumpur dan bermain dengan pacat dan lintah. Dahulu kulit penulis hitam, lebih hitam dari kena ‘sun burn’ di tepi pantai. Di zaman kanak-kanak, jika penulis terkena pokok lalang tidak terasa gatal, tetapi kini, terkena sedikit pun sudah tergaru-garu. Apabila musim tengkujung tiba, penulis dan rakan-rakan akan pergi memancing berumpankan cacing di sungai, parit ataupun kolam. Sambil memancing, kami membakar ubi kayu dengan menggunakan jerami padi sahaja. Sungguh enak sekali apabila makan ubi kayu bakar beramai-ramai.

Perbezaan menuai padi dulu dan sekarang.

Penulis sangat bangga arwah ayah merupakan seorang pesawah padi. Jika tidak, mana mungkin penulis boleh mengenali pokok padi. Jika tidak, mungkin penulis hanya mengenali berasnya sahaja. Penulis mungkin tidak akan merasai pengalaman kesakitan gigitan seekor lintah yang sebesar ibu jari. Mungkin, penulis tidak akan merasai kenikmatan makan nasi beras baharu yang berlaukan ikan darat seperti haruan, puyu, sepat, ikan keli dan pelbagai jenis ikan lain lagi. Mungkin juga penulis tidak akan tahu cara bagaimana mana hendak ‘menggagau / menangkap ikan’ di dalam lumpur pada musim menuai padi. Terlalu banyak arwah ayah mengajar kami sekeluarga tentang erti kehidupan sebagai seorang petani di sawah padi.

Penulis membesar dengan padi yang di tanam keluarga sendiri.

Penulis masih ingat lagi, arwah ayah membanting tulang seawal pagi sehinggalah matahari tegak di atas kepala. Penulis dapati peluh arwah ayah telah membasahi pakaian yang berlumpur itu. Namun, ayah tidak kelihatan letih dan tetap melayan mesra karenah kami sekeluarga. Arwah ayah juga telah mengajar kami sekeluarga menanam padi, membaja, meracun sehinggalah mengerat padi menggunakan sabit. Pernah sekali, jari penulis terluka terkena sabit tersebut. Terasa amat sakit dan darah banyak keluar. Tetapi, apabila terlihat banyak parut di jari arwah ayah, penulis tidak pernah menyesal belajar menyabit pokok padi. Di sebabkan itu, penulis membesar dengan beras yang ditanam oleh keluarga kami sendiri. Kami telah merasai beras baru yang berbau wangi. Bukan seperti beras di kedai sekarang, nampak sahaja cantik tetapi tiada khasiat.

Kami sedang mencari subjek penting untuk mengambil gambar.

Terlalu banyak kenangan di sawah padi. Jika boleh, penulis hendak anak, cucu dan cicit mengenali apa itu lumpur, lintah, ikan darat, dan pokok padi. Jika dahulu arwah ayah tidak jemu-jemu menyuruh kami sekeluarga belajar rajin-rajin supaya mendapat kerja di tempat sejuk yang ada ‘air cond’. Tetapi sebenarnya berkerja di dalam bilik yang ada penghawa dingin, sudah semestinya tidak menyihatkan badan kerana sukar untuk berpeluh. Tetapi kini, penulis berharap generasi akan datang tidak akan melupakan keperitan dan kesusahan datuk moyang kita sebagai petani pesawah padi.

Penulis sangat bangga sebagai anak petani.

Kini, penulis sudah jauh dari kampung. Jauh dari kenangan. Jauh dari sawah padi. Tetapi arwah ayah dan emak tetap dekat di hati dan penulis sentiasa mendoakan semoga roh arwah ayah dan emak senantiasa dicucuri rahmat. Amin....