Jumaat, 27 Ogos 2010

Bendera Malaysia Dipijak, Kedutaan Malaysia di Lempar Najis!

Apa persaan anda bila bendera kebangsaan kita dipijak?

Kejadian ini benar-benar memberi tamparan dan cabaran yang besar untuk Malaysia lebih-lebih lagi dalam suasana menyambut Hari Kemerdekaan ke-53 pada 31 Ogos ini. Secara peribadi, memang penulis rasakan perkara ini cukup melampau dan tetiba rasa geram tapi malas nak cakap banyak dalam bulan Ramadhan ini.

Rakyat Malaysia belum pernah memperlakukan bendera kebangsaan Indonesia seperti ini..

Penulis cuma harapkan hubungan baik Malaysia-Indonesia akan kembali seperti biasa dan rakyat Malaysia pun, janganlah buat demonstrasi yang sama juga. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita banyakkan amal ibadat pada Allah..

Isnin, 23 Ogos 2010

Memori Puasa

Seingat penulis, buat pertama kalinya berpuasa ketika berusia tujuh tahun iaitu pada tahun 1976. Setelah genap sebulan berpuasa, maka tibalah masanya kami sekeluarga berhari raya Aidilfitri. Masih ingat lagi, pagi-pagi lagi, kakak akan kejutkan dan diminta bersiap. Maka, penulispun segera terjun ke parit di hadapan rumah untuk mandi sunat Aidilfitri.

Setelah mengenakan baju baru, kami sekeluarga pergi ke surau untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri. Selesai solat, penulis menyertai orang kampung berkumpul untuk mengadakan majlis baraan iaitu bertakbir dari rumah ke rumah. Rasanya, ketika itu masih belum ada budaya meronda-ronda ke rumah jiran untuk mencari duit raya.

Air Sirap.

Apabila masuk sekolah rendah, penulis diajar berpuasa oleh arwah ayah. Letihnya... mak aih, jangan cakaplah. Tetapi alhamdulillah, penulis mampu bertahan sehingga ke petang. Masih ingat lagi alunan muzik yang akan berkumandang apabila menjelang waktu Maghrib, alunan muzik ghazalnya yang sungguh melankolik itu amat simbolik sekali. Tetapi hari ini, muzik seperti itu sudah tiada kedengaran lagi.

Ketika itu, menunggu waktu berbuka terasa amatlah lama. Tidak seperti sekarang, tidur sahaja, apabila bangun sudah dekat waktu hendak berbuka puasa.

Jika dahulu hendak membeli ais batu amat sukar sekali. Penulis dan rakan-rakan terpaksa mengayuh basikal beberapa kilometer jauhnya untuk membeli ais batu di pekan. Ais batu itu disimpan di dalam habuk kayu supaya ia tidak cair dengan cepat. Ais batu itu dijual dengan harga sepuluh sen seketul. Sungguh kelakar, jika terlewat dibawa pulang, ais batu itu akan cair dan hanya tinggal separuh sahaja.

Apabila kakak penulis yang tinggal di pekan sudah membeli peti sejuk, maka penulis tidak membeli ais batu lagi. Apabila waktu petang, penulispun mengayuh basikal ke rumah kakak untuk mengambil ais batu. Kadang-kadang ais batu yang dibawa tidak berapa keras. Apabila sampai rumah, banyak sudah yang cair..

Dan alangkah indahnya bila berbuka dengan ais batu yang dibuat sirap ais atau ais bandung siap ditambah buah selasih...emm... terasa nikmatnya...

Kini, setiap buah rumah sudah ada peti sejuk. Maka, tidak berapa lakulah ais batu di kedai runcit. Ais batupun sudah berubah dari empat segi tepat ke bentuk kiub. Air minumanpun sudah pelbagai jenis... Setakat air sirap selasih tu...ala...apa kelas...he...he...

Selasa, 17 Ogos 2010

Rezeki Isteri di Bulan Ramadhan

Sepanjang bulan Ramadhan ini, isteri penulis banyak menghabiskan masanya untuk menyiapkan tempahan baju baju raya. Semua tempahan ini diterima sebulan sebelum puasa lagi. Sudahlah banyak, kebanyakkan pelanggan pula mahukan kemasan leher baju menggunakan jahitan tangan seperti jahitan mata lalat dan tulang belut. Ini akan memakan lebih banyak masa dan jahitan perlu dilakukan dengan lebih kemas dan teliti.

Mesin jahit yang menjadi teman setia isteri penulis sekarang.

Biasanya isteri penulis akan menghabiskan dua jam untuk menyiapkan jahitan kemasan leher baju ini. Jika di musim perayaan seperti sekarang, tempahan baju raya terlalu banyak, isteri penulis terpaksa mengupah rakannya dengan harga RM 10.00 bagi setiap helai kemasan leher baju.

Isteri penulis sedang menjahit kemasan leher.

Walaupun begitu, isteri penulis masih mengambil upah menjahit dengan harga RM 30.00 bagi setiap pasang baju kurung biasa. Harga ini agak murah berbanding dengan harga di sekitar Bandar Ampang iaitu sekitar RM 35.00 hingga RM 40.00 sepasang. Manakala jika di butik pula ada yang mencecah RM 60 hingga RM 100.00 sepasang.

Antara baju kebaya kanak-kanak yang isteri penulis hasilkan.

Bayangkan jika beliau membayar RM 10.00 untuk membuat kemasan leher, tinggallah bakinya RM 20.00 sebagai upah penat menjahit. Isteri penulis tidak menaikkan upah menjahit yang sedia ada kerana ada di antara pelanggan adalah ‘regular customer’. “Segan pula hendak naikkan harganya”, katanya.

Penulis terpaksa ke Bazar Ramadhan setiap petang.

Oleh kerana sibuk menjahit, isteri penulis hanya memasak yang simple-simple sahaja seperti memasak nasi dan ikan goreng untuk hidangan berbuka puasa. Jika hendak makanan yang lebih lazat dan sedap, terpaksalah penulis ke Bazar Ramadhan untuk membeli lauk-pauknya. Biasanya hampir RM20.00 juga penulis berbelanja di Bazar Ramadhan ini. Ingatkan dibulan Ramadhan ini jimatlah duit poket penulis, rupa-rupanya kena berbelanja lebih dari hari biasa... hehe...

Sabtu, 14 Ogos 2010

Membeli Juadah Berbuka Puasa

Rasanya kita masih tidak kisah jika membeli makanan di Bazar Ramadhan yang sudah berbau, lembik dan basi. Tetapi, cuba kita bayangkan jika makanan itu terselit lipas, tikus dan kaki katak? Ini sudah pasti menghilangkan selerakan kita.



Gambar di atas sekadar hiasan sahaja, penulis dapatkannya melalui sumber internet hehehe...

Tidak mustahil kita akan mengalami peristiwa seperti di atas. Oleh itu, jika membeli juadah berbuka hendaklah terlebih dahulu melihat kebersihan si penjual dan makanan yang terjual. Janganlah terus ambil, bungkus dan bayar sahaja. Jika boleh, cium baunya dan lihatlah keadaan makanan itu terlebih dahulu.

Lagi satu, juadah berbuka ini kebanyakannya dimasak pada awal pagi. Oleh itu, janganlah terkejut jika kita terbeli makanan yang sudah basi dan berbau. Cuba bayangkan berapa banyak jenis lauk yang hendak mereka jual. Tentunya mereka tidak sempat hendak memasak di sebelah petang. Mestilah mereka masak pada awal pagi .

Kesimpulannya, jangan membazir di bulan Ramadhan dan berhati-hatil ketika membeli!

Ahad, 8 Ogos 2010

Pekena Nasi Lemak Kampung Baru

Malam kemarin, penulis ke Hospital Kuala Lumpur untuk melawat seorang rakan sekolah kerana anaknya dijangkiti kuman. Oleh kerana datang pada waktu malam, penulis tidak dibenarkan melawat ke dalam wad. Kami hanya berbual di luar wad kanak-kanak sahaja. Di sini penulis berjumpa kembali seorang rakan sekolah yang sudah 25 tahun berpisah. Apabila berjumpa, kamipun rancak berborak.

Nasi lemak yang berharga 70 sen sebungkus.

Selepas itu kamipun pergilah jalan-jalan cari makan untuk merasai kenikmatan nasi lemak yang terletak di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Penulis memang tidak pernah makan di gerai ini. Tetapi khabarnya gerai di situ sungguh popular. Popular dengan nasi lemak yang dibungkus kecik-kecik.

Antara lauk pauk yang kami pilih.

Setelah meredah beberapa lorong di Kampung Baru, akhirnya kami jumpa juga gerai tersebut yang terletak di dalam kawasan Kelab Sultan Sulaiman. Barulah penulis tahu di sini ada gerai nasi lemak. Dulu, penulis selalu ke padang kelab ini untuk menyaksikan perlawanan bolasepak, tidak tahu pula kewujudan gerai nasi lemak ini. Gerai ini juga terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Baru.

Jam menunjukkan 2 pagi, pelanggan semakin ramai.

Konsep gerai ini adalah layan diri sendiri. Apabila sampai, terus sahaja ke tempat makanan dan pilih saja nasi lemaknya. Nasi lemak yang dibungkus kecil-kecil itu, kalau tidak silap, berharganya 70 sen sebungkus. Lauk-pauk lainpun ada. Memandangkan penulis kali pertama ke gerai ini, maka rakan-rakan sahaja yang memilih lauk pauknya. Banyak juga lauk-pauk yang dipilih.

Dua sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.

Nasik Lemak di sini kalau makan sebungkus memang tidak cukup, paling kurangpun kena makan dua bungkus. Barulah rasa kenyang! he... he... Nasi lemak di sini boleh tahanlah sedapnya cuma layanan agak kureng. Harap-harap pengurusan gerai ini dapat mengambil perhatian agar pelayan-pelayan mereka lebih mesra terhadap pelanggan. Sambil menikmati nasi lemak, kami dihiburkan artis live band oleh tiga orang remaja di laman gerai ini.

Live Band di Gerai Nasi Lemak Kampung Baru.

Oleh kerana di belanja oleh rakan, penulis tidak tahu berapa jumlah harga semuanya. Penulis rasa, tidaklah mahal sangat. Menurut rakan, gerai ini agak sesak pada waktu puncak iaitu pada jam 8 malam hingga 10 malam. Oleh kerana kami datang pada jam 10 malam, gerai ini tidak berapa sesak. Parking keretapun senang.

Sudah lepas sekolah, inilah kali pertama berjumpa Azhari kembali.

Oleh kerana lama tidak berjumpa, sudah tentu banyak pengalaman pahit manis yang hendak diceritakan sehingga tidak sedar jam di tangan sudah menunjukkan 2 pagi...

Isnin, 2 Ogos 2010

4 Hari 3 Malam di Kota Dumai

Paling bermakna pada tarikh 28 Julai hingga 31 Julai 2010 kerana berlangsungnya Kejuaraan Nasional Kempo di Dumai, Sumatera Tengah, Indonesia. Kejohanan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kempo Indonesia (Perkemi) di mana Pertubuhan Kempo Dumai telah dipilih sebagai tuan rumah pada tahun ini. Kami dari Pertubuhan Shorinji Kempo Wilayah Persekutuan dan Selangor hanya dijemput sebagai tetamu undangan sahaja.

Jeti Melaka

Sebelas peserta yang turut bertindak sebagai ahli jawatan kerja adalah di kalangan ahli Pertubuhan Shorinji Kempo Wilayah Persekutuan dan Selangor. Mereka yang terbabit ialah en. Samson dan Guru Henry sebagai pemerhati manakala en. Suhaimi, Zainal, Ganesh dan Saravanan sebagai pegawai sukan serta en. Benjamin dan Azlan sebagai atlit dan penulis sendiri sebagai jurufoto.

Nasi padang di restoran Pak Datuk.

Program ini sangat santai, terima kasih kepada Pertubuhan Kempo Dumai yang diketuai oleh Bapak Annora Arsan, sambutan di Pelabuhan Umum Dumai cukup meriah, tiada tekanan dan semua peserta ceria. Sepanjang perjalanan, cuaca baik dan feri bergerak lancar tanpa sebarang masalah di tengah-tengah Selat Melaka. Sebaik sahaja tiba di Dumai semua peserta terus dibawa ke Restoran Pak Datuk untuk menikmati jamuan tengahari nasi padang.

Kota Dumai, pemandangan dari tingkat 8 hotel Grand Zuri.

Hotel penginapan kami di Dumai, Grand Zuri yang bertaraf lima bintang.

Hari pertama tidak padat dengan aktiviti, kami diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti sendiri, biasalah ramai peserta ke pasar Senggol untuk membeli belah. Agak mendukacitakan juga kerana tiada cenderamata/ole-ole sebagai kenangan untuk dibeli supaya boleh dibawa pulang ke tanah air. Kebanyakan produknya seperti pakaian/makanannya adalah sama seperti di Malaysia cuma harganya sahaja yang berbeza.

Beca yang membawa kami jalan-jalan di kota Dumai.

Pemandangan Jalan Sudirman, Dumai.

Menurut Asran yang bertindak sebagai pemandu pelancung kami, dahulu bandar Dumai ini hanyalah sebuah perkampungan nelayan kecil yang sunyi. Perkampungan persisiran pantai ini merupakan di dalam daerah Riau. Kini, bandar Dumai yang kaya dengan hasil buminya merupakan sebuah pelabuhan petroleum sejak tahun 1999. Hampir setiap hari pelabuhan ini menjadi tumpuan tempat persinggahan kapal-kapal besar dari seluruh dunia.

Pelabuhan Dumai.

Hari kedua pada sebelah petangnya, kami ke pusat sukan Dumai untuk menghadiri perasmian Kejuaraan Nasional Kempo antara Kota Wilayah 1. Kejohanan ini dirasmikan oleh Bapak Zulkifli AS yang juga merupakan Walikota Dumai. Tidak sangka kejuaraan kempo di sini cukup meriah dan disertai oleh ramai atlit dari pertubuhan kempo (Perkemi) di seluruh Sumatera. Kami dari Pertubuhan Shorinji Kempo Wilayah Persekutuan dan Selangor tidak menyertai kejuaraan kali ini. Kami hanya dijemput sebagai pemerhati, mempelajari teknik-teknik dan mempelajari undang-undang pertandingan untuk persediaan di Sukan Sea Jakarta pada tahun hadapan.

Para atlit sedang menunggu bermulanya kejohanan Kempo Wilayah 1.

Para atlit yang menyertai perbarisan ketika perasmian kejohanan kempo.

Pada keesokan hari kami sempat di bawa melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar bandar Dumai. Terkejut juga kerana di Dumai Bahasa Melayu Riaunya lebih kurang sama dengan Bahasa Melayu di Malaysia. Begitu juga dengan kebudayaannya, semuanya hampir sama kerana kita adalah serumpun, kaum Melayu. Selain sebagai bandar pelabuhan, Dumai merupakan salah satu pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di Indonesia. Terdapat banyak ladang kelapa sawit di sini. Penulis fikir, pada masa akan datang negara Indonesia akan menjadi pengeluar utama minyak kelapa sawit dunia.

Salah seorang atlit wanita yang menyertai kempo kali ini.

Perlawanan kempo sedang berlangsung.

Hari terakhir pada 31 Julai tiba akhirnya, beberapa ahli Pertubuhan Kempo Dumai yang diketuai bapak Yanto menghantar kami ke Pelabuhan Umum Dumai. Sepatutnya feri kami bergerak pada pukul 12 tengahari (WIB) tetapi disebabkan ada beberapa masalah teknikal, kami terpaksa berlepas dari Dumai kira-kira pukul 1 petang. .

Salah satu acara yang dipertandingkan dalam kejohanan kempo di Dumai.

Para atlit sedang menjalani latihan di luar pusat sukan Dumai.

Memang sepanjang perjalanan dari Dumai menuju ke Pelabuhan Melaka ombak besar tidak pernah dirasai sebelum ini, penumpang di dalam feri semuanya kelihatan cemas tetapi mujur kepten feri yang berpengalaman berjaya mengendalikan feri yang kami naiki selamat tiba di Melaka walaupun terpaksa berdepan ombak besar Selat Melaka.

Atlit kempo wanita di Dumai.

Pelabuhan Umum Dumai.

Selesai sahaja urusan di kuanter imigresen jeti Melaka, kami ditahan oleh sepasukan polis untuk menjalani ujian air kencing secara rambang. Agak terperanjat juga tetapi memahami akan tugas pasukan keselamatan negara, kami sedia berkerjasama dengan mereka. Agak kelakar juga apabila kami diminta membuat ujian air kencing. Rasanya seperti penagih sahaja. Selalunya penulis akan membuat ujian air kencing hanya di klinik sahaja. Walaubagaimanapun kami tidak akan serik dan insyallah pada tahun hadapan pertubuhan kami akan merancang untuk bertandang ke Jakarta untuk menyertai Kejuaraan Sukan Sea pula.